Monday 9 July 2012

BERTINDAK BIJAK DALAM BERBELANJA


Saya merujuk kepada artikel ‘Jumlah Muflis pada Usia Muda bakal Meningkat’ di Utusan Online pada 4 Jun 2012.

Saya bersetuju dengan artikel tersebut kerana kita sendiri dapat lihat cara perbelanjaan golongan muda terutamanya di kalangan pelajar boleh dikatakan sebagai boros. Selain itu, dengan adanya wang pinjaman untuk perbelanjaan akademik, golongan muda akan lebih senang berbelanja dengan tidak teragak-agak. Tambahan pula, kini terdapat perbelanjaan secara online di mana mereka boleh terlebih belanja tanpa menyedarinya. 

Perbelanjaan menerusi internet membimbangkan kerana golongan muda akan leka dan teruja dengan pelbagai barangan yang dipromosikan. Mereka akan berbelanja tanpa memikirkan wang yang bakal dihabiskan. Keadaan ini, iaitu perbelanjaan yang tiada had, ianya mampu membawa kepada amalan berhutang di mana mereka akan mempunyai hutang yang banyak pada usia muda. Terdapat perbezaan di antara berhutang untuk akademik dan berhutang untuk memenuhi keinginan semata-mata.

Dengan ini, golongan muda terutamanya pelajar seharusnya perlu lebih berhemah dalam berbelanja supaya tidak akan terjebak dengan amalan berhutang pada usia muda. Selain itu, mereka juga perlu mengawal nafsu berbelanja dengan memikirkan masa depan di mana mereka akan berdepan dengan kehidupan yang lebih mencabar dan lebih memerlukan wang.

Tambahan pula, mereka tidak seharusnya berbelanja lebih kepada keinginan semata-mata tetapi perlu berpada-pada dengan perbelanjaan supaya tidak terjebak dengan amalan berhutang yang boleh membawa kepada muflis pada usia muda. 

No comments:

Post a Comment